Bismillahirahmanirrahmin,
Assalamualaikum WrWb.
Saya percaya hampir seluruh anggota HIKMAH di Sarawak dan Wilayah Persekutuan telah menunggu-nunggu kemunculan 23 Jun 2009 kerana tarikh tersebut adalah tarikh yang cukup istimewa kepada kita semua kerana ia adalah tarikh yang telah dipersetujui oleh pucuk kepimpinan HIKMAH dan pihak kerajaan negeri Sarawak untuk merai hari ulang tahun BINA-HIKMAH, sebuah pertubuhan dakwah Islam yang sudah tidak asing lagi kepada penduduk negeri Sarawak sama ada mereka masih di peringkat usia muda Tadika maupun yang masih berkhidmat dengan kerajaan berkereta lawa ataupun yang sudah pension dan berkerusi roda. Bagi ahli-ahli BINA-HIKMAH sama ada yang sudah tua maupun yang masih segar dan muda, ini adalah hari kebesaran dan kebanggaan kita kerana akhirnya pertubuhan kesayangan kita - walaupun telah banyak kali dipukul ombak dan badai samudera – sampai juga ke satu lagi pelabuhan impiannya sarat dengan pelbagai rancangan dan penuh dengan seribu harapan. Dalam hati Muslim dan Muslimah yang bergerak aktif dalam pertubuhan yang bernama BINA-HIKMAH saya percaya kita cukup bersyukur kepada Allah SWT, kita cukup gembira, bahagia dan pada masa yang sama insaf bahawa pertubuhan kita sudah hampir tercapai matlamat asalnya untuk menyebarkan syiar Islam di negeri Sarawak di samping memaju dan meningkatkan kualiti martabat bangsa dan agama.
Bercakap secara ikhlas mungkin ramai pemimpin dan penduduk negeri Sarawak yang kurang yakin tentang keupayaan dan daya tahan sebuah pertubuhan Islam yang telah diilham dan diasaskan oleh salah seorang pemimpin veteran kita iaitu YABhg Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub. Tetapi YABhg Tun Datuk Patinggi bukan sebarang dan calang-calang orangnya. Bagi ramai pengkaji dan pemerhati beliau adalah seorang anak Sarawak yang telah dianugerahi Allah dengan ciri-ciri peribadi yang cukup istimewa dari segi kebolehan, pendidikan, pemikiran, sifat keilmuan dan pengetahuan tentang masyarakat dan kemanusiaan untuk mencorakkan masa-depan bangsa dan orientasi pertubuhan agama yang ingin diwujudkannya. Justru pada suatu ketika dulu pelbagai perkara telah diperkata dan tohmah telah dilempar ke atas pertubuhan kesayangan para belia dan remaja Islam yang bernama BINA pada peringkat awal sejarah pertumbuhan dan perkembangannya. Ramai yang tertanya-tertanya apa sebenarnya tujuan BINA – nak main muzikkah, nak belajar bersilatkah, belajar bernasyidkah atau nak bagi ruang kepada teruna dan dara bertukar pandangan dan bergaul mesra.
Sebenarnya memang ramai belia dan remaja bangsa yang menyertai BINA kerana bermacam jenis suka – suka bermain di samping belajar dan membaca muzik, suka exercise atau beriadah – suka silat berbunga atau belajar seni mempertahankan diri dengan pergerakan istimewa ala-Jepang melalui aikido dan tidak kurang juga yang suka dengan BINA kerana kagum dengan khutbah, tazkirah dan kuliah yang diberikan oleh pemimpinnya yang cukup handal dan sungguh mempersonakan iaitu YABhg Tun Datuk Patinggi Hj Abdul Rahman sama ada di Dewan Masyarakat di Jalan Hj Taha, di tempat kediaman rasminya di sekitar Taman Muzium ataupun di Rumah Sarawak, di Jalan Maxwell, Kuala Lumpur. Oleh kerana adanya keyakinan di kalangan ramai anak bangsa terhadap BINA maka BINA yang mulanya wujud di Kuching telah berkembang dan mula bertapak di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur dengan disertai oleh pelajar-pelajar Islam Sarawak yang menuntut di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini impian dan harapan Tun Datuk Patinggi Hj. Abdul Rahman Ya’kub untuk melihat golongan terpelajar BINA untuk turut menabur bakti dan menyumbang tenaga kepada masyarakat dan agama mereka di Sarawak sudah pun terlaksana. Tugas seterusnya ialah untuk memantapkan pengurusan, perancangan dan kegiatan pertubuhan kita supaya pertubuhan yang bernama BINA-HIKMAH yang kita cintai bukan sahaja dapat membantu memperbaiki kualiti hidup penduduk dan masyarakat Islam di negeri Sarawak malah suatu hari kelak boleh bergerak cepat untuk membantu masyarakat dan komuniti Islam di negara lain yang ditimpa bencana, kesusahan dan pelbagai penderitaan. Amin.
Dr Awang Hasmadi Awang Mois,
Pengerusi HikmahWP & Ahli MT HIKMAH Sarawak.
Bangi. Selangor.
No comments:
Post a Comment