Tuesday, August 5, 2008

Menyambut kedatangan Bulan Syaaban 1429H


Sekarang kita berada dalam bulan Syaaban. 1 Syaaban jatuh pada 3 Ogos 2008 dan ia berlangsung hingga 30 Ogos 2008. Bulan Syaaban mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam, samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang juga mempunyai kelebihan, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah SWT.


Bulan Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda Rasullah SAW akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Baginda paling banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban. Perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan di bulan ini , ia juga merupakan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan


Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Syaaban


Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:


1. Memperbanyak puasa sunat.


Nabi SAW lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.


“Dari Ummi Salamah katanya: ''Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali bulan Sya'ban dan Ramadan.” (H.R. an-Nasa'i)


2. Bertaubat dan Beristiqhfar


Bertaubat dan beristigfar boleh mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha. Manakala jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.


3. Memperbanyak zikir dan berdoa


Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang membesar dan mengagungkan Allah.


Ini bersesuaian dengan janji Allah SWT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.


Begitu juga dengan ibadat doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah SWT dengan cara merendahkan diri kepada-Nya.


Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Syaaban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain?


Baginda bersabda yang bermaksud:


“Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”. (HR an-Nasa’i)


Malam Nisfu Syaaban


Kelebihan Malam Nisfu Syaaban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:


“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Syaaban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)


Pada malam Nisfu Syaaban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:


“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”


Kita boleh Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.


Penutup


Kesimpulannya amalan yang berterusan ini akan membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta meyambut kedatangan Ramadhan dengan hati yang bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.


Sabda Nabi SAW maksudnya:


“Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu. Sembahyang yang paling disukai oleh Nabi SAW iaitu yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit apabila baginda sembahyang. Apa jua sembahyang ia akan lakukan secara berterusan” (HR Bukhari).


_________________

Disusun oleh Akh Abdul Ghani Liew Abdullah, AJK Hikmah WP

1 comment:

  1. salam ukhwah fillah buat antum di wp,selamat bejuang...tahniah atas terujud nya blog hikmah wp,semoga ikhwah dari cwgn2 dan bhgn lain selepas ini menyusul,dan kita menfaat kan alam cyber ini untuk menyampai kan risalah muhamad di pelusuk dunia maya..insyallah,
    kalau bole buat link antara blog blog yg ada seperti kami di cawangan sibu,agar kta dpt berinteraksi dan berkongsi bahan2 yg menfaat.. wasalam, blog kami : www.hikmahcawangansibu.blogspot.com

    ReplyDelete