Thursday, October 23, 2008

Meraih Pahala dari Fitnah Harta dan Anak

Terdapat dua ayat di dalam Al-Qur’an yang menyebut harta dan anak sebagai fitnah, iaitu surah Al-Anfal ayat 28 dan surah At-Taghabun ayat 15.

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal 08: 28)

“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (At-Taghabun 64:15)

Perbezaannya: pada surah Al-Anfal, Allah menggunakan ayat pemberitahuan “ketahuilah”, sedangkan pada surah At-Taghabun menggunakan ayat penegasan “sesungguhnya”. Namun ungkapan yang mengakhiri kedua-dua ayat tersebut adalah sama, iaitu “di sisi Allah jualah pahala yang besar”. Sehingga boleh difahami bahwa fitnah harta dan anak berupaya menjerumuskan ke dalam kemaksiatan, namun di sudut yang lain juga berupaya untuk menjadi peluang bagi meraih pahala yang besar dari Allah s.w.t. Makna yang kedua itulah yang dikehendaki oleh Allah, sehingga Allah mengingatkannya di akhir ayat yang berbicara tentang fitnah anak dan harta “dan di sisi Allah jualah pahala yang besar”.

Fitnah dalam kedua ayat ini bukan dalam arti bahasa yang biasa kita gunakan, iaitu bermaksud memburukkan orang lain, seperti memburukkan nama baik atau mencemar reputasi seseorang. Tetapi fitnah yang dimaksudkan dalam konteks harta dan anak seperti yang dikemukakan oleh Asy-Syaukani adalah bahawa keduanya boleh menjadi sebab seseorang terjerumus dalam banyak dosa dan kemaksiatan, demikian juga boleh menjadi sebab mendapatkan pahala yang besar.

Inilah yang dimaksud dengan ujian yang Allah uji pada harta dan anak seseorang. Fitnah di sini juga dalam maksud boleh menyibukkan atau memaling dan menjadi penghalang seseorang dari mengingati dan mengerjakan amal soleh kepada Allah, seperti yang digambarkan oleh Allah tentang orang-orang munafik sehingga Dia menghindarkan orang-orang beriman dari kecenderungan ini dalam firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Munafiqun 63: 09).

Rasulullah s.a.w. juga menyebut kedua kemungkinan ini dalam hadits Aisyah r.a. ketika beliau memeluk seorang bayi, “Sungguh mereka (anak-anak) dapat menjadikan seseorang kikir dan pengecut, dan mereka juga adalah termasuk dari haruman Allah s.w.t”.

Fitnah anak dalam konteks boleh mengganggu dan menghentikan aktiviti seseorang pernah dirasakan juga oleh Rasulullah s.a.w. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dan Abu Daud dari Abu Buraidah bahwa ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbahnya kepada kami, tiba-tiba datanglah kedua cucunya Hasan dan Husein mengenakan baju merah sambil berlari dan saling kejar-mengejar. Melihat kedua cucunya, Rasulullah lantas turun dari mimbar dan mengangkat keduanya sambil mengatakan, “Maha Benar Allah dengan firmanNya, “Sesungguhnya harta dan anak-anak kamu adalah fitnah”. Aku tidak sabar melihat keduanya sehingga aku menghentikan khutbahku dan mengangkat keduanya”. Dalam konteks ini, Ibnu Mas’ud mengajarkan satu doa yang tepat tentang harta dan anak. Beliau menyatakan, “Janganlah kamu berdoa, dengan doa ini, “Ya Allah, lindungilah kami dari fitnah”. Kerana setiap kamu ketika pulang ke rumah akan mendapati harta, anak dan keluarganya boleh mengandungi fitnah, tetapi katakanlah, “Ya Allah aku berlindung kepada Engkau dari fitnah yang menyesatkan”.

Secara perbandingan, mengenai fitnah harta dan anak dalam surah At-Taghabun, Imam Ar-Razi dalam At-Tafsir Al-Kabir menyebut, kerana anak dan harta merupakan fitnah, maka Allah memerintahkan kita agar sentiasa bertaqwa dan taat kepada Allah setelah menyebutkan hakikat fitnah keduanya, “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (At-Taghabun 64:16).

Apatah lagi pada ayat sebelumnya, Allah menegaskan akan kemungkinan sebagian keluarga berbalik menjadi musuh bagi seseorang, “Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (At-Taghabun 64:14)

Sedangkan mengenai fitnah harta dan anak dalam surah Al-Anfal, Sayyid Qutb menyebut kaitannya dengan tema amanah “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Al-Anfal 08:27), bahawa harta dan anak merupakan objek ujian dan cubaan Allah s.w.t. yang dapat menghalang seseorang daripada menunaikan amanah Allah dan RasulNya dengan baik. Padahal kehidupan yang mulia adalah kehidupan yang menuntut pengorbanan dan menuntut seseorang agar mampu menunaikan segala amanah kehidupan yang dipikulnya. Maka melalui ayat ini Allah s.w.t. ingin memberi peringatan kepada semua khalifahNya agar fitnah harta dan anak tidak melemahkan mereka dalam memikul amanah kehidupan dan perjuangan agar meraih kemuliaan hidup di dunia dan di akhirat. Dan inilah kelemahan manusia di hadapan harta dan anak-anaknya. Sehingga peringatan Allah akan besarnya fitnah harta dan anak diiringi dengan khabar gembira mengenai pahala dan keutamaan yang akan diraih melalui harta dan anak.

Lebih jauh, kaitan ayat di atas dapat ditemui di dalam beberapa ayat yang lain. Al-Qurtubi menemukan kaitannya dengan surah Al-Kahfi 18:46 yang bermaksud, “Harta benda dan anak-pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.”

bahawa harta kekayaan dan anak wajar menjadi perhiasan dunia yang mententeramkan pemiliknya kerana pada harta ada keindahan dan manfaat, sedangkan pada anak ada kekuatan dan harapan. Namun demikian kedudukan keduanya sebagai perhiasan dunia hanyalah bersifat sementara dan boleh menggiurkan serta menjerumuskan. Maka adalah sangat tepat jika ayat “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (At-Taghabun 64:15); dan ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Munafiqun 63: 09); menjadi peringatan jika terjadi harta dan anak yang menjauhkan pemiliknya daripada Allah s.w.t.

Berbeza dengan At-Thabari, ia memahami kaitan yang berlawanan di antara ayat ini dengan surah Ali Imran ayat 38, “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaKu dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan". (Ali Imran 03:38); Menurut Ath-Thabari, secara tekstual ayat ini boleh difahami bertentangan dengan ayat yang memberi peringatan mengenai kemungkinan bahaya dan fitnah yang ditimbulkan dari harta dan anak. Padahal Nabi Zakaria sendiri berdoa agar dikurniakan keturunan yang banyak. Maka pemahaman yang kontra ini diluruskan sendiri oleh Ath-Thabari dengan mengemukakan bahwa anak yang di pohon oleh Nabi Zakaria adalah anak keturunan yang soleh yang boleh memberi manfaat di dunia dan akhirat. Sedangkan yang dikhuatiri adalah kriteria harta dan anak yang akan melalaikan dari mengingati Allah s.w.t seperti yang Allah tegaskan dalam salah satu firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Munafiqun 63: 09); Dalam konteks ini, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pernah mendoakan harta dan anak yang banyak kepada sahabat Anas bin Malik r.a., “Ya Allah perbanyaklah untuknya harta dan anak, dan berkatilah setiap apa yang Engkau anugerahkan kepadanya”.

Demikianlah keseimbangan yang diajar oleh Allah s.w.t. dalam berdepan dengan fitnah harta dan anak yang menduduki kedudukan tertinggi dari kelemahan manusia. Harta dan anak memiliki potensi yang sama dalam menuju kebaikan atau menjerumuskan seseorang kepada dosa dan kemaksiatan. Sudah pastinya peringatan Allah dalam konteks fitnah harta dan anak perlu sentiasa kita ingat karena hanya peringatan Allah yang mencerminkan kasih sayangNya yang layak untuk diingat, “Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras, kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim 66:06).


(Posting oleh saudara Satria Arjuna bin Haji Julaihi)

Artikel ini adalah terjemahan Bahasa Melayu daripada tulisan asal artikel ini iaitu dalam Bahasa Indonesia oleh Dr. Attabiq Luthfi, MA. Artikel ini telah dipetik daripada “www.dakwatuna.com”.

No comments:

Post a Comment