Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar الله أكبر الله أكبر الله أكبرLaa Ilaaha IllaAllahu لا إله إلا اللهWallahu Akbar, Allahu Akbar الله أكبر الله أكبرWa li-illaahil-hamd ولله الحمد
Hari Raya Eid ul-adha adalah salah satu perayaan yang utama di kalangan ummat Islam. Ia adalah satu perayaan yang disambut oleh ummat Islam di seluruh dunia. Allah yang maha kuasa telah mengurniakan kepada ummat Islam dua perayaan yang terbesar pada satu tahun dan oleh kerana kedua-duanya adalah anugerah Allah kepada hambaNya maka kedua-duanya harus dirayakan dan justeru kerana itu ummat Islam dilarang berpuasa pada kedua-dua hari besar tersebut iaitu pada Hari Raya Eidul-Fitri dan Hari Raya Eidul-Adha.
Hari Raya Eidul Fitri disambut setelah ummat Islam selesai menyumpurnakan ibadah puasa selepas satu bulan. Manakala Eidul Adha pula dirayakan setelah ummat Islam yang pergi mengerjakan ibadah haji di tanah suci Makkah selesai menyumpurnakan salah satu rukun Islam yang menjadi tiang dan inti ibadah haji yang utama iaitu mengerjakan wukkuf di Arafah. Justeru Hari Raya Eidul Adha adalah satu perayaan yang dirayakan di seluruh dunia sempena menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah. Seperti yang semua ummat Islam sedia maklum anjuran mengerjakan ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima dan terakhir bagi ummat Islam yang mampu mengerjakannya.
Hari Raya Eidul Adha adalah satu perayaan yang istimewa kerana di samping dikenali sebagai Hari Raya Haji ia dikenali juga sebagai Hari Raya Kurban. Bagi mereka yang baru biasa dengan agama Islam atau bagi mereka yang mudah lupa di kalangan kita ummat Islam, ia disebut juga dengan nama Hari Raya Kurban untuk memperingatkan seluruh ummat Islam tentang kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah SWT dan kesabaran, ketaqwaan dan keimanan anaknya untuk merelakan dirinya dikorbankan sebagai simbol ketaqwaan, keimanan dan keyakinan ayahandanya kepada perintah Allah demi memperolehi keredhaan Allah SWT.
Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bukan kisah biasa; ia kisah cinta manusia kepada Allah dan kesanggupan manusia untuk berkorban kepada Allah. Kisah ini adalah kisah yang istimewa kerana terkandung di dalamnya adalah nilai-nilai pokok dan utama yang Allah telah perkenalkan untuk kemajuan dan kejayaan ummat Islam di seluruh dunia. Dan nilai-nilai yang telah diperkenalkan oleh Allah kepada dua orang hambaNya Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ialah nilai-nilai sanggup berkorban kerana ketaatan, ketaqwaan, keimanan dan keyakinan kepada Allah.
Sempena menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Kurban ini marilah kita bertanya apakah yang harus dilakukan oleh manusia dalam konteks membangunkan masyarakat Islam yang mantap dan berkualiti tinggi? Salah satu isu yang sering diperkatakan oleh anggota masyarakat Melayu yang beragama Islam di Malaysia pada hari ini ialah kepincangan institusi famili. Anak-anak Malaysia yang mengambil kursus sosiologi maupun antropologi semua tahu bahawa institusi famili adalah adalah satu unit yang paling asas dalam pembentukan sesebuah masyarakat. Semua pelajar disiplin sosiologi dan antropologi sedia maklum bahawa kalau institusi ini pincang, maka pincanglah juga masyarakat dan kalau is sudah mula porak peranda maka porak perandalah akhirnya masyarakat. Ini sudah mulai berlaku di negara kita Malaysia.
Sebuah famili yang lengkap terdiri dari pasangan suami-isteri beserta dengan seorang atau berapa orang anak; anak-anak yang dilahirkan hasil hubungan kelamin antara suami dan isteri atau anak-anak yang diambil atau diangkat dari keluarga lain kerana kesukaran pasangan suami dan isteri untuk menghasilkan anak (issue atau progeny).
Sebuah famili yang ideal terikat oleh berapa jaringan hubungan yang bersifat timbal-balas dan saling lengkap lagi melengkapi. Antara pasangan yang bergelar suami dan isteri itu harus ada ikatan yang sah dan lagi mengesahkan. Ikatan itu haruslah sah dan diiktiraf sebagai sah sehingga kedua-dua orang yang bergelar suami dan isteri tadi boleh mengadakan hubungan kelamin sah dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana rakan, taulan maupun lawan. Oleh kerana hubungan itu sah maka dengan sendirinya anak yang lahir dari ikatan atau hubungan itu nanti juga akan dianggap oleh masyarakat sekitar sebagai anak2 yang sah.
Dalam sebuah unit yang dikatakan famili itu pasangan suami dan isteri masing-masing ada hak dan tanggungjawab: seorang suami ada hak dan tanggungjawabnya ke atas isterinya; dan sebaliknya seorang isteri juga memiliki hak dan tanggungjawab ke atas seorang suami. Selain mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas satu sama lain pasangan suami-isteri juga mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas anak-anak yang mereka miliki. Sebaliknya anak-anak juga mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas ayah dan ibu yang mereka miliki.
Di kalangan masyarakat Melayu pada masa kini, masalah sosial yang sering diperkatakan oleh ketua kampong, tokoh2 pertubuhan, pemimpin-pemimin masyarakat dan Sang Pak Menteri terhasil dan kian menjadi kerana di peringkat asas atau unit sosial yang disebut family itu lagi kita sudah berhadapan dengan masalah. Masalah ini bermula dan berpunca daripada ketidakupayaan sang suami untuk melaksanakan hak dan tanggungjawabnya sebagai suami dan sebaliknya sang isteri pula gagal melaksanakan hak, tanggungjawab dan peranannya sebagai seorang isteri.
Masalah ini menjadi rumit apabila sang suami dan isteri sudah mempunyai anak dan sang suami pula bukan lagi sekadar mempunyai peranan dan tanggungjawab sebagai suami malah sang suami juga mempunyai peranan dan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Dengan adanya seorang anak maka dengan sendirinya tugas seorang lelaki yang dulunya hanya bergelar suami sudah bertambah kerana keperluan anaknya juga harus dipenuhi dan ditunaikan sama ada dari segi minuman, makanan, pakaian maupun dari segi persekolahan. Kalau dulu sepasang suami-isteri boleh jimat duit dengan menunggang motosikal, dengan adanya anak yang baru dilahirkan seorang suami bersama isterinya mungkin perlu bekerja kuat dan berkorban untuk mendapatkan sebuah kereta kecil seperti “Kancil” untuk mempastikan anak yang baru dilahirkan tadi selamat dan terlindung dari hujan, angin dan panas matahari.
Begitu juga halnya dengan seorang isteri tatkala sudah memperolehi anak dan memegang tanggungjawab sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu. Kalau dulu seorang isteri hanya perlu menjaga dan melayan suaminya; dengan kehadiran anak kesayangan si suami dan si isteri, seorang isteri harus memainkan peranan tambahan sebagai seorang ibu kepada anak yang baru dilahirkan. Dalam keadaan hidup moden yang begitu sukar dan mencabar ini ramai suami dan isteri, ayah dan ibu terlupa akan tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah keluarga mengikut apa yang telah dituntut dan dianjurkan oleh Islam. Akhirnya banyak keluarga pada masa kini yang mengalami pelbagai kepincangan. Seringkali kalau ibu dan anak2nya baik si ayah pula bermasalah dan memerlukan perhatian dan bantuan yang lebih berat daripada bantuan dan perhatian yang diperlukan oleh seorang anak dan manusia biasa. Sebaliknya apabila seorang suami atau ayah dan anak-anak tidak menghadapi masalah si isteri dan ibu pula yang terperangkap dalam pelbagai cabaran dan isu rumah tangga sehingga tumpuan dan fokus yang seorang ayah harus berikan kepada anak-anaknya terpaksa diberikan sepenuhnya kepada seorang isteri dan ibu yang ditimpa masalah.
Kita berdoa pada sempena Hari Raya Eidul-adha yang mulia ini anggota masyarakat Islam di Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya dapat memikirkan semula dan kembali kepada nilai-nilai Islam yang terkandung dalam peristiwa Korban yang diadakan oleh Nabi Allah Ibrahim dan anak kesayangannya Nabi Ismail supaya kita dapat menyempurnakan tugas kita di muka bumi ini sebagai manusia yang sentiasa tunduk, hormat, yakin, sabar dan bertaqwa kepada Allah dan pada masa yang sama sentiasa sedar kita mempunyai tanggungjawab dan tuntutan agama yang mulia dan suci yang harus dilaksanakan.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.
Tulisan dan ucapan Pengerusi HikmahWP
Dr Awang Hasmadi Awang Mois
UBD di BSB
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari 10 Zulhijjah. Oleh itu, hendaklah kamu memperbanyakkan zikir, takbir dan tahmid. " (Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment