Tuesday, July 29, 2008

Pengerusi Menulis

Assalamualaikum,

Blog ini ada satu usaha permulaan Hikmah Wilayah Persekutuan untuk menggunakan teknologi cyber untuk mendekati seluruh ahli Hikmah di Wilayah Persekutuan dan ahli-ahli HIKMAH yang berada di negeri Sarawak, iaitu negeri di mana HIKMAH atau nama asalnya BINA telah bermula.

HIKMAH atau BINA (Angkatan Nahdathul Islam Bersatu) adalah sebuah pertubuhan yang lama di negeri Sarawak. Pada peringkat awal penubuhannya pada lewat tahun 1960an BINA telah membantu membangkitkan kesedaran agama dan sosial di kalangan masyarakat Islam di negeri Sarawak (Darul Hanna). Seperti ramai yang sedia maklum Sarawak adalah sebuah negeri yang penduduknya terdiri daripada pelbagai suku kaum; tidak kurang daripada 27 suku kaum seperti yang terkandung dalam catatan rasmi. Suku kaum yang begitu ramai ini adalah satu rahmat yang telah dianugerahkan oleh ALlah kepada negeri dan penduduk negeri tersebut. Pada peringkat awal penubuhannya BINA terbukti telah berjaya menyatukan penduduk Islam di negeri Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum melalui satu faktor sepunya (common factor) iaitu agama suci yang telah dianugerahkan oleh ALlah kepada manusia yang ingin hidup aman, beriman dan sentiasa bertakwa kepadaNya iaitu agama Islam.

Usaha untuk menyatukan penduduk dan suku-kaum Sarawak yang kecil seperti Melayu, Melanau dan Kedayan serta anggota suku-kaum lain yang telah bermigrasi ke agama Islam telah dimulai dan dipimpin oleh Tun Datu Patinggi Haji ABdul Rahman Yakub, Ketua Menteri Sarawak yang ketiga dan Mantan Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 1960an. Berkat usaha gigih beliau dan sokongan padu dari pegawai, pemimpin serta pelajar Islam yang berada di negeri Sarawak maka BINA (HIKMAH) telah menjadi sebuah pertubuhan yang sentiasa berada di bibir penduduk Islam negeri Sarawak yang mencintai agama, disiplin, usaha dan perpaduan ummah. Begitu kuat perpaduan dan pergerakan BINA pada tahun2 60an dan 70an sehingga ia telah menjadi sebuah pertubuhan dan pergerakan yang menarik perhatian pertubuhan dan pergerakan bukan Islam yang bergerak aktif di negeri tersebut kerana kejayaannya untuk menyatupadukan umat Islam di negeri yang begitu besar lagi begitu beraneka suku-kaumnya.

HIKMAH WP mengakui bahawa HIKMAH (BINA) sedang berhadapan dengan tugas mencabar untuk bangun dan aktif semula selepas krisis demi krisis dalaman dan luaran yang telah melanda pertubuhan tersebut. Kita di HIKMAH WP berharap blog ini akan merintis jalan bagi kebangkitan semula kesedaran perpaduan dan persatuan Islam di kalangan seluruh warganegara Malaysia yang berada dan berasal dari negeri Sarawak. Kita sedar bahawa persatuan dan perpaduan ini haruslah berteraskan kepada kesucian,kebenaran dan ketinggian hukum Allah.

Salam perjuangan.

Ikhlas daripada,

Dr Awang Hasmadi Awang Mois
Pengerusi HIKMAH WP,
Bangi, Selangor.

No comments:

Post a Comment