Thursday, September 4, 2008

Usul Isyriin (Usul Dua Puloh)

Imam As-Syahid Hasan Al-Banna

MUQADDIMAH

Usul Isyriin yang ditulis oleh Ustaz Hasan Al-Banna ini adalah dianggap di antara tulisannya yang penting, kerana Usul Isyriin ini mengandungi beberapa perkara yang wajib dipercayai dan diketahui oleh tiap-tiap orang Muslim dan wajib diikuti dalam tindak-tanduknya; hubungannya dengan khaliqnya dan hubungannya sesama manusia.

Jadi kita kumpulkan beberapa huraian ringkas oleh As-Syahid Hasan Al-Banna yang dapat difahami seperti mana yang diterangkan oleh Al-Mursyid itu sendiri.

Dalam Usul Isyrin ini, ia menerangkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku perselisihan pendapat (pertikaian), terutama dalam hal-hal yang berkenaan aqidah. Ia mesti difahami sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah An-Nabawiyah.

Semoga dengan penerangan ini setiap orang Muslim yang mengikuti syarahan ini akan memahami Islam sebagaimana ianya patut difahami tanpa menokok tambah ataupun mengurangkan sedikit pun dari apa yang telah diturunkan oleh Allah dan disampaikan oleh RasulNya s.a.w.

Demikian juga dalam Usul Isyriin ini, Hassan Al-Banna, Al-Mursyid Rahimahullah, menerangkan bahawa di dalam Islam ini terdapat hal-hal yang dibenarkan berbeza pendapat di samping perkara-perkara yang tidak boleh berbeza pendapat tadi. Semoga dengan ini setiap orang Muslim itu mengetahui di mana tempat-tempat yang ia boleh berbeza dan tidak merasa ganjil bila berhadapan dengan perbezaan pendapat seperti itu. Al-Mursyidul Am dalam penyusunan kitab-kitabnya adalah benar dan menepati sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Walaupun demikian kita mesti ingat bahawa tidak ada orang yang maksum melainkan Rasul-rasulnya (a.s.). Kita berpesan kepada ahli-ahli Ikhwan agar membaca dan mengulangngulang buku ini sehingga ia bersebati dengan mereka. Kemudian apa-apa yang telah diketahui dan difahami daripada ajaran-ajaran Islam tersebut hendaklah diamalkan. Amalan itu pula hendaklah amalan yang membentuk jiwa dan membina peribadi dalam suasana Islam; kerana beramal dalam pembentukan peribadi adalah cara yang dapat membentuk jiwa. Inilah jalan yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah yang mulia di mana mereka beramal dengan apa yang diketahui.

Semoga Allah SWT memberikan hidayahNya, meredhai dan memberikan pertolonganNya kepada semua ahli-ahli Ikhwanul Muslimin sehingga mereka teguh berkhidmat untuk agamaNya, dan semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada Al-Mursyid dengan petunjuk dan kebaikan dan cintakan pengorbanan dan jihad.

No comments:

Post a Comment