Tuesday, January 20, 2009

Usaha Meringankan Beban Golongan Miskin di Brunei Darussalam

Khamis, 15 Januari 2009

Sekitar 16,000 fakir miskin sudah berdaftar

Oleh Nurul Hayatee Badaruddin

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Seramai 16,000 fakir miskin termasuk tanggungan didaftarkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei bagi menerima agihan zakat fakir miskin.

Pengagihan zakat kepada asnaf fakir miskin itu dibuat berdasarkan syarat yang diletakkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei, kata sumber Majlis Ugama Islam Brunei kepada Media Permata dalam temu bual hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kandungan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam Brunei semalam.

Dalam titah itu, Baginda Sultan bertitah mempersoalkan baki wang zakat yang berjumlah hampir $240 juta, sedangkan masih ada golongan miskin di negara ini.

Baginda Sultan juga bertitah menanyakan sama ada wang zakat boleh ditahan, ditangguhkan dan dilaburkan sedangkan masih ada orang miskin yang layak menerimanya.

Satu lagi soalan yang dititahkan oleh Baginda Sultan ialah sama ada baki wang zakat dari Brunei boleh dipindahkan dan diagihkan kepada fakir miskin di tempat lain, sedangkan masih ada orang miskin di Brunei yang layak menerimanya.

Sementara itu, sumber Majlis Ugama Islam Brunei memberitahu Media Permata mereka juga menggunakan wang zakat bagi membantu fakir miskin membayar hutang tertunggak seperti bayaran bil elektrik.

Mengenai agihan zakat kepada penanggung hutang Al-Gharimin, beliau berkata sepanjang tahun lalu saja, agihan zakat itu membabitkan pembinaan lima buah masjid.

Baginda Sultan bertitah jika bahagian Al-Gharimin itu turut ditimbangkan untuk membayar hutang tertunggak adalah tidak munasabah bagi penghutang yang berhutang kerana maslahat peribadi jika mereka layak untuk menerima wang zakat bahagian Al-Gharimin.

Dalam titah itu, Baginda Sultan menanyakan sama ada kedudukan penanggung hutang yang tidak dapat membayar hutang mereka seperti membeli rumah kerajaan melalui Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Rancangan Perumahan Negara dan Skim Perumahan Yayasan pernah dikaji.

Selain itu jurucakap Majlis Ugama Islam Brunei juga menyatakan wang zakat berkenaan turut diagihkan kepada mualaf yang memeluk agama Islam di negara ini termasuk digunakan untuk perbelanjaan kursus bimbingan, sambutan Hari Raya, menunaikan fardu haji dan perumahan bagi mualaf berkenaan.

Majlis Agama Islam Brunei pada masa ini mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan titah Baginda Sultan itu.

Sumber: Media Permata Online

Posted by: Dr. A.H.Awang Mois

No comments:

Post a Comment