Assalamualaikum WRWB,
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Sdr/i sesama dalam Hikmah Sarawak dan yang bukan anggota Hikmah di mana sahaja saudara/i berada,
Ada beberapa orang pengunjung dan kawan sesama HIKMAH yang sentiasa berharapan tinggi tentang apa yang seorang pengendali blog bernama HikmahWP ini boleh lakukan untuk menambah jumlah hits maupun pengunjung ke blog ini.
Blog ini sebenarnya bukan bermatlamatkan mendapat HITS kerana tujuan seperti ini mungkin akan memesongkan kita dari matlamat pertama dan utama pertubuhan kita sebagai sebuah badan dakwah yang tidak berhasrat untuk mencari populariti. Blog ini telah diadakan khusus untuk menyiarkan berita penting berhubung dengan KEGIATAN HIKMAH SARAWAK yang dulunya benama BINA.
Dalam kes Blog HikmahWP tujuan kita mengadakan blog ini adalah untuk menyiarkan berita tentang kegiatan yang dilakukan oleh Hikmah Cawangan atau Bahagian kita di Wilayah Persekutuan. Ini bermakna ada kegiatan adalah laporan atau tulisan yang boleh kita siarkan untuk mengisikan ruangan di blog yang ada. Secara logiknya juga tidak ada kegiatan tidak ada laporan atau tulisan yang boleh kita siarkan.
Untuk mengelakkan blog ini daripada terbiar dan menjadi terlalu kosong maka saya selaku pengendali blog ini telah mengisikan blog ini dengan beberapa artikel yang diambil dari blog lain yang ada kaitannya dengan Islam dan menyentuh nasib masyarakat yang mengaku dan bernama Islam, tidak kira di mana mereka berada. Ini termasuklah memuatnaikkan salinan khutbah yang pernah disiarkan sama ada dari Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia maupun salinan khutbah dari Negara Brunei Darussalam, tempat saya bekerja, kerana isu-isu atau topik-topik yang dibicarakan oleh Ustaz-Ustaz, Khatib-Khatib maupun pendakwah-pendakwah Islam ini tidak kira dari mana datangnya semuanya hampir sama sahaja. Adakalanya blog ini juga diisi dengan artikel2 dari blog atau lama web lain yang cukup relevan dan berguna kepada pendawah atau dakwah di negara yang majoriti penduduknya bukan Islam kerana artikel2 ini menceritakan bagaimana seseorang yang bukan Islam di sebuah negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat akhirnya memeluk agama Islam hanya kerana dia tertarik dengan cara orang yang beragama Islam menguruskan jenazah mengikut hukum Islam.
Teman dan kawan yang pernah mengendalikan blog ini telah menyerahkan tugas mengendalikan blog ini kepada saya kerana beliau juga seorang manusia biasa yang banyak tugas harian lain untuk disempurnakan. Seperti saya dia adalah seorang manusia dan insan biasa yang telah dianugerahkan ALlah 24 jam (24 HOURS) sahaja sehari untuk mengendalikan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang utama untuk majikan dan juga keluarga. Jadi untuk kawan2 di luar sana dan juga mereka yang berada di dalam persatuan yang sama apa sahaja yang ternampak dan termuat di blog ini anggaplah itu sahaja yang terdaya oleh kita dengan mengambilkira jumlah masa yang ada, jumlah kegiatan yang boleh dilaporkan dan tugas utama yang harus dilaksanakan. Sebagai pengendali blog sebuah badan dakwah seperti HIKMAH Sarawak, kita tertakluk kepada tujuan dan matlamat asal pertubuhan kita iaitu berdakwah dan menyampaikan berita yang ada hubungan dengan keadaan, masalah dan harapan masyarakat Islam.
Bagi pengunjung yang telah membuat complaint bahawa blog ini terlalu akademik sila beritahu atau tunjukkan kepada kita secara ikhlas apa muatan di blog ini yang saudara/i ingin adakan. Adakah saudara/i inginkan muatan yang bercorak hiburan atau gossip2 yang ingin dikongsikan dengan kawan? Seperti yang telah dimaklumkan blog ini adalah blog milik sebuah pertubuhan dakwah dan apa yang tersiar di blog ini harus akur kepada tujuan dan matlamat perjuangan pertubuhan kita sebagai sebuah pertubuhan dakwah.
Kepada rakan2 di dalam HikmahWP sekali lagi saya nyatakan blog ini bukannya blog peribadi Pengerusi HikmahWP. Blog ini blog kita semua, blog kita bersama. Sama-samalah kita tolong mengisikannya dengan sumbangan tulisan atau laporan. Usahlah ditanya apa sumbangan teman seperti saya sahaja, tanya juga sumbangan diri anda kepada blog yang sedia ada. Ingatilah prinsip perjuangan pertubuhan kita: Inna solati wanusukii wa mahyaaya wa mamaatiililaahirabbil 'aalamiin.
Saya sudahi dengan sebuah firman Allah SWT dalam Surah 103 Al-'Asr
In the name of Allah, Most Gracious, Most Merciful.
By (the Token of) Time (through the Ages),
Verily Man is in Loss,
Except such as have Faith, and do righteous deeds, and (join together) in the mutual of Truth,
and of Patience and Constancy.
Terjemahannya
Demi masa,
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran.
Wabillahiitaufikwalhidayah Wasalamualaikum WRWB,
Dr Awang Hasmadi Awang Mois,
BSB.
No comments:
Post a Comment