Friday, April 17, 2009

Manusia dan Tugas Yang Sering Dilupainya

Bismillaahir rohmaanir rohim

Pada pagi Jumaat 17 April 2009 bersamaan 21 Rabiul Akhir 1430 Hijrah yang mulia dan indah ini ada baiknya kita sebagai manusia dan insan yang telah dijadikan oleh Allah Yang Maha Berkuasa bertanya diri kita beberapa soalan yang mudah sahaja untuk mempastikan kehidupan kita di muka bumi ini cukup bermakna dan tidak sebaliknya menjadi seperti kiambang yang hanyut ke sini dan ke sana sia-sia sahaja.

Kita mungkin boleh bermula dengan soalan "Siapa Saya?" atau dalam Bahasa Melayu Sarawak (BMS) Sapa Aku Tok? atau Apa Aku Tok ? Soalan yang kedua ialah "Kenapa Saya" atau BMS "Kenaknya AKU-kah?". Seterusnya kita boleh bertanya lagi "Jadi bagaimana ini?" "Apa Nak Buat Ni?", atau BMS Jadi Macam Ney Tok? atau "Apa Nak Polah Tok?" Lepas itu kita boleh bertanya diri lagi "Jadi Bila Agaknya?" atau BMS "Bila Nak Mulakah?" dan seterusnya "Di Mana Nak Mulakah?" atau BMS "Di Seney Nak Mulakah?"

Dalam pengajaran Kaedah Penyelidikan Sains Sosial (Social Science Research Methodology) kaedah pertanyaan seperti ini sering dirumuskan sebagai formula 5W1H - five (or four Ws and 1 H - seperti Who, What, Why, When Where and How. Bagi seorang pelajar sains sosial sama ada dia berada di peringkat BA, MA atau PhD formula ini cukup berguna kerana formula ini memudahkan kerja memahami sesuatu fenomena sama ada fenomena itu berupa sesuatu masalah sosial seperti pelacuran, penganguran atau fenomena lain seperti devians sosial, devians agama maupun konflik agama maupun konflik kaum.

Dalam konteks agama Islam formula ini juga harus kita pakai untuk memahami kenapa kita berada di bumi yang begitu luas (tetapi kecil) ini dan apa tujuan kita berada di muka bumi ini. Kaedah seperti ini perlu dipakai supaya perjalanan hidup kita lebih senang difahami dan tanggungjawab kita sebagai mahluk yang telah dijadikan Allah lebih senang dimengerti. Saya mengajak para pengunjung blog ini turut sama memikir dan merenungi persoalan-persoalan yang saya timbulkan di sini kerana persoalan-persoalan ini adalah isu lama tetapi sering dilupai oleh kita mahluk bernama manusia seperti saya dan juga anda atau awda.

Firman Allah subhanu wataala dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:

"Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka ini".

Dan semua kita tahu siapa yang telah dijadikan Allah untuk menjadikan khalifah di muka bumi ini; tidak lain - Nabi Allah Adam - datok kepada segala datok manusia seperti saya dan juga pengunjung seperti anda dan awda.

Apakah tugas sebenar manusia seperti saya dan saudara sebagai seorang pemimpin di muka bumi yang sebegitu luas dan kecil ini? Hanya sekadar bertanya di ruangan ShoutMix Chat ini soalan2 senda dan lucu akan tugas pengendali blog apa dia nak buat dengan blog yang tidak sepertinya ini? Blog ini bagi Allah SWT hanya perkara yang halus dan kecil saja. Tapi yang lebih besar ialah persoalan dan peringatan yang telah ditinggalkan untuk kita semua dari junjungan Nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar radiallahuma yang bermaksud:

"Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimin bertangungjawab ke atas sesuatu yang berada di bawah peliharaannya. Seorang amir adalah pemimpin kepada manusia dan bertanggungjawab ke atas mereka. Seorang lelaki adalah pemimpin kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab ke atas mereka. Seorang wanita pula adalah pemimpin kepada orang-orang yang berada di rumah suaminya dan anak-anak suaminya dan beranggungjawab ke atas mereka. Manakala hamba adalah pengurus kepada harta tuannya dan bertanggungjawab ke atasnya. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas orang yang berada di bawah pimpinannya".

WaAllahuaklambisawab

Wabillahitaufikwalhidayah Wasalaamualaikum WRWB

Sumbangan dan tulisan

Pengurusi Hikmah WP,
Awang Hasmadi Awang Mois, PhD (Cambridge)
UBD,
BSBegawan

No comments:

Post a Comment