Tuesday, September 2, 2008

Asal Ibadah Adalah Haram

“Jom solat Maghrib”, ajak Leman.

“Boleh jugak, jom. Tapi aku nak solat Maghrib hari ni lima rakaat tau,” balas Dollah.

“Uik, kau biar betik. Ni paham songsang mana pulak yang ajar Maghrib ada lima rakaat ni?” Leman tersedak mendengar permintaan pelik tersebut.

“Eh, apa salahnya. Kalau ikut logik, bukan ke solat lima rakaat aku lebih banyak dari solat tiga rakaat biasa. Kalau kita nak pahala lebih, buatlah lebih. Semua pun tau lima lagi banyak dari tiga. Lagipun niat aku ikhlas,” Dollah berhujah mempertahankan keinginannya untuk ‘menambah ibadahnya’.

“Kau hilang akal ke, tak pernah orang buat solat Maghrib lima rakaat. Kau sakit apa pulak ni?” tanya Leman kehairanan.

“Orang tak nak buat biarlah,” jawab Dollah selamba.

“Masalahnya bukan je orang biasa tak pernah buat. Nabi pun tak pernah solat Maghrib lebih daripada tiga rekaat!” ujar Leman.

“Ye la Nabi tak buat, Nabi darjat dia dah tinggi, dah dijamin syurga. Kita yang tak tentu lagi masuk syurga ni kenalah lebih sikit usaha. Lagipun ada ke hadis dari Rasulullah secara direct larang orang nak solat Maghrib lebih dari tiga rakaat?” Dollah meminta bukti.

Cerita di atas adalah sekadar imaginasi saya. Namun inti kisah itu adalah realiti walaupun mungkin dengan contoh berbeza. Umat Islam yang tidak faham suatu kaedah penting dalam Islam pasti mudah terjatuh dalam kesilapan seperti watak Dollah. Mungkin ada yang pernah mendengarnya mungkin ada yang tidak tentang kaedah yang akan saya kongsi. Kaedah yang dimaksudkan dan lazim keluar dari lisan-lisan para ulamak lebih kurang berbunyi,

اَلْأَصْلَ فِي اَلْعِبَادَةِ اَلتَّوَقُّف


“Asal setiap ibadah itu tawaquf (berhenti hingga ada dalil)”.

Apa yang dimaksudkan adalah, asal hukum setiap ibadah khusus itu adalah terlarang melainkan ada dalil yang mengarahkannya. Kita tentu dilarang solat Maghrib tiga rakaat sekiranya tidak ada dalil yang menyuruh ia dilakukan sedemikian. Hari ini kita bersolat Maghrib tiga rakaat tidak lain kerana adanya dalil yang menyuruh demikian (tiga rakaat).

Ambil contoh kes daripada dialog di atas tadi. Solat Maghrib lima rakaat adalah asalnya terlarang. Apakah ada dalil membenarkannya? Tidak, maka ianya kekal terlarang.

Kaedah ini tidak terhad sekadar untuk solat, tetapi merangkumi semua bentuk ibadah khusus. Ianya bukanlah satu kaedah yang reka-rekaan tanpa rasional. Ibadah khusus adalah urusan antara seorang manusia dengan Tuhannya. Seseorang itu tidak mungkin tahu bagaimana cara terbaik untuk mengibadahi Tuhannya, melainkan diberitahu oleh Tuhan itu sendiri. Dan tentulah melalui kalamNya, al-Quran atau utusanNya, Rasulullah SAW. Malah jika dilihat, bukankah itu adalah antara tujuan diutuskan seorang wakil atau utusan kepada Tuhan di muka bumi ini?

Ianya senada dengan sabda baginda SAW,

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد

“Siapa yang melaksanakan suatu amalan yang bukan termasuk urusan (agama) kami maka dia tertolak” [Sahih Muslim – no: 1718]

Mungkin ada yang tertanya pula, kalau begitu bagaimana dengan urusan-urusan kebiasaan manusia di dunia ini? Banyak yang tidak dibenarkan oleh dalil secara khusus. Disini terdapat satu lagi kaedah,

الاصل في المعاملات الإباحة إ لا ما دل عليه دليل بالحرمة

“Hukum asal di dalam muamalah adalah boleh kecuali ada dalil yang mengharamkannya”


Kaedahnya kontras dengan kaedah terhadap ibadah khusus sebentar tadi. Yang mana dalam urusan kebiasaan di dunia yang melibatkan sesama manusia, segalanya pada asalnya harus. Hukumnya hanya berubah seandainya terdapat dalil mengharamkannya.

Saya akhiri dengan memetik kata-kata Syaikh Abd al-Rahman as-Sa’adi yang saya rasa memberikan kesimpulan kepada apa yang sudah disebutkan sebelum ini.

الأصل في العبادات الحظر ؛ فلا يشرع منها إلا ما شرعه الله ورسوله ، والأصل في المعاملات والاستعمالات كلها
لإباحة ; فلا يحرم منها إلا ما حرمه الله ورسول

“Asal hukum dalam ibadat adalah dilarang; maka tidak disyariatkan daripadanya melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya, manakala asal hukum di dalam muamalat dan kepenggunaan seluruhnya adalah harus; maka tidak diharamkan melainkan apa yang diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya”

Moga selepas ini kita sudah mampu tidak banyak pun sedikit, beribadah dengan ilmu.

Wallahua’lam.

__________________
Oleh Armada Sarkawi

No comments:

Post a Comment