Wednesday, September 24, 2008

Tuntutan mengeluarkan Zakat

Jika pada awal bulan ramadhan kita dilatih untuk tidak makan dan minum, maka pada penutup bulan ramadhan kita dituntut untuk membayar zakat fitrah, memberi makanan pada mereka yang mmemerlukan. Bagi seseorang yang mengeluarkan zakat, secara automatiknya mereka memiliki kepekaan terhadap penderitaan kaum yang lemah. Hanya persoalannya sekarang ini, pelaksanaan menunaikan zakat masih belum banyak diminati oleh kumpulan yang mampu. Zakat yang dimaksudkan di sini adalah bukan hanya sekadar zakat fitrah, tetapi juga zakat harta dan lain-lain yang berkaitan.


Dan, orang-orang yang dalam hartanya terdapat bahagian tertentu, bagi orang (miskin)yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta).” (Al-Ma'arij: 24-25)


Ketahuilah bahawa dengan menunaikan zakat - kemakmuran dan keberkatan hidup akan bertambah, kerana setiap hasil keringat telah disucikan dengan berzakat kepada Allah s.w.t.


Pengertian zakat dari sudut syarak ialah:

Sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan zakat.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. (Surah at-Taubah, Ayat: 103).


Manakala di dalam Hadis Sahih pula, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman: (Beritahulah kepada mereka bahawa Allah s.w.t mewajibkan mereka mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut diambil daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin di kalangan mereka). Hadis ini dikeluarkan oleh jemaah ahli hadis.


Hukum Mengeluarkan Zakat


Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir.


Zakat telah difardukan pada tahun kedua Hijrah dan ia telah disebut di dalam beberapa potong ayat di dalam Kitab Suci al-Quran di antaranya firman Allah yang bermaksud:


Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk” (Surah al-Baqarah, Ayat: 43).


Firman Allah yang bermaksud “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)” (Surah al-Ma'aarij, Ayat: 23, 24).


Jika terdapat suatu golongan masyarakat yang mempunyai kekuatan dan enggan membayar zakat tetapi mereka masih tetap mengakui kewajipan mengeluarkan zakat, maka pemerintah berhak memerangi mereka sehingga mereka membayar zakat masing-masing berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh jemaah ahli hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w dan pada waktu itu ramai dikalangan bangsa Arab yang kufur (murtad). Lalu Umar r.a berkata: (Bagaimanakah kamu ingin memerangi orang-orang yang murtad kerana Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan supaya memerangi orang-orang yang murtad sehingga mereka mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah, jika mereka menyatakan pengakuan tersebut, maka jiwa dan hartanya terpelihara daripada aku kecuali apabila orang berkenaan melakukan tindakan yang boleh dijatuhkan hukuman dan perhitungan orang tersebut terserahlah kepada Allah s.w.t? Lantas Abu Bakar r.a menjawab: Demi Allah, aku akan terus memerangi orang yang memisahkan di antara sembahyang dengan zakat kerana zakat adalah kewajipan terhadap harta. Demi Allah, seandainya mereka tetap enggan membayar walaupun seekor anak kambing betina yang belum sampai umurnya satu tahun sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka kerananya. Kemudian Umar r.a berkata: Demi Allah sesungguhnya Allah telah menerangi dada Abu Bakar untuk memerangi mereka dan aku juga yakin bahawa tindakan tersebut adalah benar).


Syarat-syarat Mengeluarkan Zakat


Zakat diwajibkan ke atas beberapa jenis harta dengan diletakkan beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Syarat-syarat ini dibuat untuk membantu pembayar zakat agar dapat membayar zakat hartanya dengan rela hati sehingga matlamat sebenar zakat disyariatkan akan tercapai.

Antara syarat-syarat adalah seperti berikut:


1. Islam - Zakat hanya dikenakan ke atas orang Islam. Bagi perniagaan perkongsian orang Islam dengan bukan Islam hanya peratusan ekuiti orang Islam sahaja diambilkira untuk zakat.


2. Merdeka - Hamba abdi tidak wajib berzakat kecuali zakat fitrah. Walau bagaimanapun tidak timbul persoalan hamba abdi masa kini, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib berzakat.


3. Milik Sempurna - Harta yang dimiliki mestilah sempurna dalam kekuasaan seseorang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik juga dapat memperlakukan dan memperolehi manfaat daripadanya.


4. Cukup Nisab - Nisab adalah paras nilai minima yang menentukan samada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan. Nisab adalah bersamaan dengan 85 gram emas nilai semasa.


5. Cukup Haul - Cukup haul bermaksud genap setahun harta disimpan.


6. Niat Untuk Berniaga - Syarat ini hanya bagi zakat perniagaan sahaja.


Untuk keterangan lanjut, sila rujuk pusat zakat negeri masing-masing di Malaysia.



_______________

Dipos oleh Abdul Ghani Liew Abdullah

No comments:

Post a Comment